Wednesday, 4 August 2010

al-kisah ~ seorang pengembara dengan pokok yang ganjil

al-kisah...

Ini adalah kisah tentang seorang pengembara yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat, dari desa ke desa, kota ke kota, negeri ke negeri yang lain.

Suatu hari, tibalah dia ke sebuah desa dan di sana dia telah melihat suatu tanaman yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Tanaman itu sangat kecil dan pendek, sementara buahnya pula besar seperti bola sepak dan menyentuh tanah. Tanaman itu adalah pokok buah tembikai.
Kerana terlalu letih, dia meneruskan perjalanan sambil mencari-cari pohon yang besar lagi rendang untuk beristirehat. Lalu tibalah dia di bawah sebuah pokok beringin yang sangat besar. Sebelum duduk dan berbaring di bawah pokok beringin tersebut, dia menatap pokok itu dengan kehairanan,

" Mengapa pokok sebesar ini, tidak memiliki buah yang besar. Sementara pokok yang kecil di sana tadi berbuah besar?" soalnya pada diri sendiri. Dia berkata lagi, " Tanaman-tanaman ini kelihatan sungguh aneh dan tidak diciptakan sebagaimana yang sepatutnya." sambungnya lagi, " Kalau aku yang menciptakannya, tentu aku akan jadikan pokok yang besar ini berbuah besar dan pokok kecil di sana tadi berbuah kecil sahaja."


Setelah berkata begitu, dia pun berbaring di bawah pokok beringin tersebut dan seketika kemudian dia pun tertidur. Di dalam tidurnya dia bermimpi pokok beringin yang besar itu memiliki buah yang sangat besar sebagaimana yang dikhayalkan sebelumnya. Sedang dia asyik memerhatikan buah tersebut, tiba-tiba buah yang besar itu gugur dari dahan yang tinggi dan dia tidak sempat mengelak. Buah yang sangat besar dan berat itu jatuh menimpa kepalanya dan membuatkannya tergamam seketika. Dia berteriak lantas terjaga dan mendapati mata kirinya terasa agak sakit. Saat dia menoleh ke kirinya, dia mendapati ada benda kecil bulat lalu mengambilnya dan ternyata ia seakan buah. Rupanya buah kecil itulah yang jatuh dari atas pokok besar itu dan mengenai mata kirinya. Sungguh bernasib baik pemuda itu kerana matanya tidak terluka. Dia kemudiannya menggeleng-gelengkan kepalanya, mujur pokok besar itu tidak berbuah besar seperti tembikai. Tak dapat dia bayangkan bagaimana jika buah tembikai yang besar itu jatuh dari dahan yang tinggi lantas mengenai kepalanya, sudah tentu kepalanya akan pecah!

Berikutan kejadian tersebut, timbul penyesalan dalam dirinya kerana mempertikaikan dan mempersoalkan berkenaan penciptaan tanaman-tanaman tersebut dan berfikir seolah-olah dia boleh menetapkan yang lebih baik dari itu.

" Memang tidak elok untuk seorang hamba yang lemah seperti ini mempersoalkan ketetapan Sang Pencipta. ALLAH benar-benar Maha Mengetahu rahasia ciptaan dan ketetapan-NYA."

Maka dia pun berasa puas dengan peristiwa dan pengajaran yang didapatinya hari itu.

1 komentar:

kakakcomot said...

tq Allah!!krn kurniakan aku dgn kkk yg baek!